Saturday, 5 July 2014

Kisah ‘LELAKI TUA BERKAIN PELIKAT’ by Dato’ Roslan Ab Hamid

LELAKI TUA BERKAIN PELIKAT BACA AL QURAN
SETIAP KALI LEPAS ASAR SAMPAI MAGHRIB.

Saya jumpa lelaki tua ini. Selalu lepas Asar dia iktikaf di Masjid. Baca al Quran. Umur 70an. Duduk rumah dekat masjid. Rumah agam besar dan menarik. Hartanya disana sini, bangunan komesil tengah bandar. Milikan rm35 juta.
Pendapatan pasif kutip sewa rm70k sebulan. Belanja rm20k. rm50k sedekah dan infaq. Dia tenang bersendirian meladeni anak cucu.
Saya mahu ambil gambar. Dia menolak. katanya malu. Saya minta formula. Dia berikan 15. Saya catat dan mahu kongsikan. Bolehkah saya kongsikan?
1. Pertama, dia kata muliakan ibu bapa. Doa ibubapa adalah segala galanya. Ia tiada hijab terus termakbul. Raikan ibubapa. jaga mereka sepanjang usia. Doakan mereka apabila telah tiada.
2. Jaga masa. Ia datang dan berakhir. Urus masa antara 5 waktu solat. Atur kerja dengan sebaik cara. Pada setiap waktu ada perkara yang kita mulakan. Ada di masjid sebelum azan. masuk waktu terus solat. Selepas solat bertebaran berusaha cari rezeki.
3. Berdoa dengan khusyuk. Serah pada Allah. Tawakal. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.
4. Namun begitu kena usaha. Usaha pagi petang siang malam. Usaha sungguh sungguh. Usaha bermula dengan pasang niat. Lepas itu buat buat buat. Sampai dapat. Tidak dapat, usaha lain pula. Masa buat baca al Quran. Maka dia pun nasihatkan saya,
“Orang yang membaca surah Al-Ikhlas satu kali sama ganjarannya dengan memperoleh ganjaran membaca sepertiga Al-Quran. Jadi jika membaca surat Al-Ikhlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran.
Rasulullah SAW pernah bertanya “Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangka masa dua-tiga minit?” Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah UmarAl Khattab r.a telah mengatakan adalah mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat.
Ali Abi Talib r.a pun membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.
Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul.
Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 juzuk kitab Al-Quran. Apabila membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali khatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juzuk Al-Quran.
Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa membaca ‘Qul huwAllahu Ahad’ sebanyak 3 kali, dikurniakannya pahala seperti pahala orang yang membaca Al-Quran sekali khatam.”
Lelaki tua itu berkata, mulut dia tidak berhenti baca surah al Ikhlas. Kadang kadang sampai 1000 kali sehari. Dan tiap lepas asar masa dia iktikaf dan baca Al Quran.
5. Jaga Kesihatan. Jaga kesihatan. jaga kesihatan. Banyak berjalan kaki. Banyak. minum air masak atau air mineral. Jaga makanan.
#6 – Hidup kena buat target. Ada wawasan. Ikat perut. Usah membazir. Mula dengan makanan. Makanan dan minuman mesti habiskan. Usah lagak orang kaya, padahal kita teman pada syaitan. Sentiasa belanja orang. Makan dikedai kecil. Perhatikan kebersihan kedai. Apabila bersih masuk. Disitu kita temui ramai orang susah. Belanja mereka..
#7 – Waktu maghrib usah ada atas jalan. Apabila dalam perjalanan berhenti. Cari masjid. Apabila dirumah, tutup pintu rapat rapat. Malam buang sampah sarap. Basuh pinggan mangkuk. Pastikan semua teratur sebelum tidur. Gunakan waktu antara maghrib dan isyak untuk tuntut ilmu agama. Boleh dengar orang mengajar. Boleh juga baca kitab. Lepas Isyak buat kira kira untung rugi. Siapkan bahan dan pakaian untuk kerja esok hari.
#8 – Usah takut jumpa orang. Walaupun 5 minit mahu berjumpa. Pergi sendiri. Usah pakai posmen apabila depani soal penting. Kita rangkak panjat bangunan. Tunggu. Biarlah kita ambil masa berhari hari perjalanan. yang penting sampaikan dengan tangan sendiri.Tenung mata dan baca “ayat ayat pengasih”. Hehehe. (Nota tambahan: Surah Yusuf: Ayat 4)
#9 – Balik malam, usah cakap penat. Usah cakap letih. Usah cakap sakit. Apabila sakit senyum. Allah sedang luruhkan dosa. Lepas sakit kita lagi bertenaga. Siapakah dalam dunia yang tidak pernah rasa sakit. Jatuh. dihina. Semua termasuk Rasulullah SAW. Namun, baginda ajar kita maafkan semua orang.
#10 – Niat mahu kaya. Niat mahu bantu ramai orang. Niat mahu jadi manusia berguna.Niat itu macam tulis surat. Dulu tiada internet, Macam tulis surat la. Salah tulis alamat akan sampai salah tempatlah surat itu. Maka tulis alamat betul betul. Niat mahu kaya, supaya kita dapat bantu ramai lagi orang. Mahu membahagiakan ramai orang.
11. Mula berniaga, usah buat pinjaman. Cukup dengan apa yang ada ditangan. Itu masa kita belajar. Berniaga ini seni. Kita sahaja tahu maksud lakaran. Terbakar tangan biasa. Namun, dengan duit sedikit kita tak rasa sangat panasnya. Usah samakan orang dengan kita. Mereka lain tak serupa.
(Kedai mula mula di mulut sahaja.)
Senyum mesra, mulut manis. Usah sombong. sentiasa tegur dan sapa manusia. Kita berniaga dengan manusia.Berniaga dengan siapa sahaja. Andai kata kita kaki surau. Berniaga dengan orang surau tidak jadikan kita kaya. Berniaga dengan semua orang walaupun dia haprak keparat. Yang penting tunai. Ada duit kita cerita. Ada barang kita jual.
12. Modal kita adalah daya penarik yang pada diri kita. Daya penarik adalah ciri yang ada dalam diri ang buat orang lain rasa senang dengan kita. Cari ilmu tentang produk. Apabila orang tanya jawab dengan lancar dan petah. Jelas. sebut satu demi satu. Usah ragu ragu dan termanggu. Kongsi bukan jual. Ingat sentiasa kongsi dengan semangat membara. Orang jatuh cinta dengan semangat kita.
13. Apa lagi..ahaaa..masa mula niaga biar mendalam dulu. Usah cepat mahu melebar. Fahamkah apa pakcik cakap. Maksudnya biar berjaya satu demi satu.Apabila mula guna modal sendiri, kemudian buat sungguh sungguh sampai berjaya. Lepas dah nampak hasil, mula lebarkan. Masa itu boleh la mahu buat pinjaman. Kita sudah ada ilmu bisnes.
(Cukuplah tu. Masa ni Lelaki Tua Berkain Pelikat sudah mahu berhenti. Saya senyum peluk dia dan kata, “baharu ada 13 anak sungai di syurga. Tambah sampai 20″. Saya buat contengan kata dia dalam kepala)
14. Kita kena buat promosi apa jua yang kita bisnes. Produk tak boleh bercakap. Sejak bila pula lah produk boleh bercakap. Orang kena tahu apa yang kita buat. Caranya buka bank emosi dengan setiap pelanggan kita. Pelanggan yang puas hati datang lagi. Datang lagi. Sekarang pun Pak Cik masih buat bisnes sikit sikit. Perumahan. Pak Ciik buat lima rumah sekali siap. Siap baharu jual. Pak Cik buat cantik. Jual mahal. Orang beratur mahu beli. Jual barang siap. Usah jual barang dalam laut yang tidak tahu tersangkut pada pukat atau tidak. Tidak berkat begitu.
15. Apabila bisnes sudah maju, usah berlagak. Dahulu Pak Cik suka gunting rambut kedai Nawi. Dia tanya “Bagaimana Pak Cik mahu gunting rambut? Pak Cik jawab , “Dengan senyap senyap tapi cantik”. Anak fahamkah apa Pak Cik cakap ni? Jawab saya, “Faham Pak Cik, saya juga gunting rambut disitu sejak umur 15 tahun”. Hehehe. Maksudnya usah gosip sana gosip sini, balun orang sana balun orang sini. Usah peduli rambut atas kepala orang lain. Apa yang utama rambut kita tersisir rapi.
Bijak anak ni. Apa nama? Yesss. Dia sudah tanya nama saya. Maknanya saya sudah dapat Mentor Lelaki Tua Berkain Pelikat.
#16 – Anak..ingat kita hidup sungguh sebentar, macam main bola sahaja. 90 minit tamatlah permainan. Itulah lebih kurang bandingan hidup didunia ini. Kita kejar bola. Cuba jaringkan gol. Apabila sampai tiupan wisel, tahulah keputusan. Apabila malaikat maut datang jemput kita, habislah kita. Ada dunia kekal abadi di sana. Usahlah kita berlagak sombong masa berjalan atas bumi Tuhan ini.
Paku yang nampak tidak rapat ke papan, akan diketuk oleh Tuan Rumah. Itulah perumpamaan hidupan. Rapat ke bumi. Sujud pada Tuhan.
Bacalah surah ar Rahman ayat 46, “Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga”
#17 – Pak Cik bersyukur sampai ke tahap ini. Pak cik bersyukur. Syukur itu tandanya apabila Pak Cik rasa tak layak terima, namun Allah berikan juga. Pak Cik habiskan masa dalam waktu kecemasan ini dengan memandang yang memberi nikmat bukan pada nikmatnya. Anakku bersyukurlah. Masih punya masa mengatur tapak menjejaki orang hebat dalam agama.
Dunia ini tidak lebih dari sayap nyamuk sahaja. Usah letak dunia di hati. Tetapi berusahalah supaya dunia dalam genggaman tangan kita. Pak Cik pakai kereta besar, bukan untuk apa namun Pak Cik mahu menikmati apa rasa sayap nyamuk itu. Kalau sayap nyamuk itu sudah rasa nikmatnya, bayangkan nikmat di syurga.
#18 – Anak… Apabila mahu makan nasi, dapatkan beras. Cakap cakap dan sembang sembang tidak hasilkan beras. Rajin usaha. sampai waktu solat. Solat itu tiang agama. Usah terjerat dengan penyakit umat akhir zaman. Mereka cintakan dunia. Takutkan mati. Hakikatnya mati itu pasti. Namun, jangan kerana takutkan mati duduk atas masjid semata mata dan harapkan hidangan turun dari langit.
Tidak boleh begitu. Cuba beri masa untuk semua perkara. Umur macam Pak Cik sekarang, hari hari biasa, 6 jam tidur. 6 jam bekerja. 6 jam duduk atas masjid. 6 jam bersama anak cucu cicit. Anak, ada Pak Cik ingat, Nabi SAW sebut, “Peliharalah lidahmu, luaskan rumahmu dan tangislah dosamu”. Cuba anak check siapa perawinya. (nota: Hadis riwayat at Tirmizi)
#19 – Anakku kita bukan orang sufi. Mereka lain. Kita orang biasa,
“Apabila kemiskinan datang bertandang mengetuk di pintu, kasih sayang segera terbang keluar ikut jendela. Saat itu sahabat dekat mula menjauh, kesusahan bagaikan banjir besar menghanyutkan segalanya pergi dan ianya hanya kembali apabila kita kaya semula”
Rajinlah berusaha. Wang bukan segala galanya. Namun banyak perkara dalam dunia sekarang perlukan wang anakku. Wang bukan raja. Wang adalah hamba perkasa yang memudahkan banyak perkara. ramai orang sedikit sedikit sebut Tuhan, pada hal hati mereka bersimpang simpang.
#20 – Cuba sedaya upaya supaya ada wuduk pada tubuh kita. Ianya adalah cara terbaik cucikan diri. Cuba mandi setiap kali sebelum masuk waktu. Tidak dapat kerana banyak masa di pejabat, mandi 3 kali sehari. Sebelum subuh, sebelum maghrib dan sebelum isya’. InsyaAllah kita rasa bersih dan tenang dari segi luaran. Sewaktu berdiri mahu solat, rasakan ketakutan luar biasa. Kita sedang menghadap Allah Raja dan Tuan kepada segala Raja.
******************************************************
LELAKI TUA BERKAIN PELIKAT SIRI 5
Saya cari dia sepanjang bulan puasa. Selepas asar di tempat biasa. Dia tiada. Tidak ada lagi pada sudut tepi tiang di masjid. Di mana dia? Apakah dia sakit? Atau pergi umrah.
Pagi tadi, dengan izin Allah jua saya temui dia. Tenang bersahaja. Kali ini berjubah. Selepas subuh dia ambil al Quran dan baca. Bacaan lancar dengan tajwid yang sedap didengar. (Nota: Saya tidak boleh kata betul, kerana itu bukan bidang yang saya berpengetahuan).
Lama dia baca. 1 jam 26 minit. Lepas itu dia sambung solat, dari kejauhan saya perhatikan. 4 rakaat Dhuha. Dia berdoa panjang juga, memohon keampunan dan dipermudahkan kehidupan zuriat dan keturunan, diberi keamanan buat bumi yang tercinta. Selesai lelaki tua itu bersolat saya datang menghampiri dia.
Dia terlebih dahulu memberikan salam. Senyum mesra menyapa. Dia berkata, sebelum saya sempat bersuara.
“Selalu lepas Asar tiada di tempat biasa, Pak Cik keluar lihat lihat juadah berbuka. Hidup ini kena nikmati jua. Apa yang boleh makan dan terasa mahu makan, belilah. Dihujung usia, adalah merasa nikmat yang Maha Esa.Itulah namanya nikmat yang tidak dapat kita dustakan. Beli tanpa berkira. ramai peniaga cari rezeki.
Bahagi kepada jiran tetangga dan sanak saudara. Inilah waktu kita beramal dan merapatkan jalinan saudara. Jiran adalah saudara kita terdekat. ia umpama tubuh badan kita.”
Saya kata, “ramai orang mahu petua pak cik lagi”. Dia pun tenang merenung panjang. Kata beliau, (saya notakan dalam bilangan)
#21. Berusahalah untuk jadi orang kaya. Kaya tidak menambah sombong, besar, berlagak. Kita berharga di sisi Tuhan apabila kekayaan kita menambah manfaat pada orang. Kita mulia disisi Tuhan apabila miskin kita tidak menambah beban. Miskin tidak menyusahkan orang.
#22. Sepanjang hidup kita bakal diuji. Ujian miskin. Ujian kaya. Orang yang tahan ujian itu umpama emas. Jatuh ke tanah ia emas. Letak dibadan, ia emas. Letak di kepala, ia emas. Ujian datang dalam bentuk kesakitan, kerugian, kehinaan. Ujian juga boleh datang dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Berhati hatilah dengan ujian.
#23. Anak mahu tahu apakah perkara yang menyebabkan malaikat rasa cemburu pada kita? Apabila kita beri madu tatakala kita diberi racun sebelumnya. Tanya saya, “maksudnya? (saya pohon pencerahan). Lelaki Tua itu berkata, apabila kita membalas kebaikan pada kejahatan orang. Tiada dendam melainkan rasa insaf diri mahu membawa kebaikan walaupun kita pernah dikhianati dan dikerjakan teruk oleh orang itu.
#24. Pada detik ini dia menangis teresak esak. Kata beliau, “Pak Cik rindukan emak. Emak adalah himpunan khazanah kaya yang tidak ternilai harga. Pada teman teman anak, detik ini kembalilah kepada emak.Buka puasa dengan emak dan ayah. Suapkan emak. Seluruh harta dunia yang kita miliki tiada kan sama dengan emak dan ayah”
#25. Apabila emak dan ayah sudah tiada bertimbang rasa pada keluarga. Pak Cik pernah dengar orang alim kata, orang yang paling sempurna imannya adalah orang baik budi, mulia pekerti. Orang yang bertimbang rasa dan bertolak ansur pada keluarga”. Jadi orang mulia anak. Mulia bukan mahsyur nama. Mulia bukan berkuasa. Mulia kita apabila akhlak terpelihara.
(Nota: Rasulullah SAW bersabda, “Aku diutus oleh Allah untuk menyempurnakan akhlak” (HR Ahmad) ).
(Bersambung)
******************************************************
LELAKI TUA BERKAIN PELIKAT SIRI 6.
Lama dia merenung saya. Pandangan beliau jauh dalam genangan air mata. Dia nyata menerobos masa sekarang pulang ke masa silam. dalam hati saya berkata, orang tua memang begitu. Mudah pilu.
“Pak Cik boleh kaya jauh lebih kaya dari sekarang, andai halal haram Pak Cik letak ke belakang. Dulu dulu ramai orang mahu kerja kerajaan. Yang berniaga tidak ramai. Jadi, peluang untuk Pak Cik banyak. Malah Pak Cik pernah ditawar AP Kereta. Tapi semuanya Pak Cik tolak”
“Pak Cik senang berdagang cara buka kedai macam sekarang. Ada untung simpan. Cukup simpan labur. Beli bangunan. Alhamdulillah adalah sikit sikit. Namun petua hidup tenang, yang Pak Cik nak kongsi untuk teman teman anak adalah seperti ini”
# 26. Jaga maruah kawan kawan. Usah cerita keburukan orang lain. Apabila cerita itu tidak benar, jatuh pada fitnah. Apabila cerita itu benar, itu mengumpat namanya. Ghibah itu berdosa dan menambah gelap hati kita. Pak Cik dengar ustaz mengajar atas masjid ini, apabila kita dengar saudara seagama diumpat dan kita tidak membelanya maka kita ikut tanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat.
Habis mengajar, Pak Cik dan kawan kawan bawa ustaz itu pergi makan, tiba tiba ustaz itu bercakap pasal keaiban orang. Pak Cik bangun, bayar semua makanan dan pergi. Pak Cik bukan orang sufi. Pak Cik tetap ambil ilmu dia, sebab mutiara tetap berharga walaupun penyelamnya orang hina. Pak Cik pergi,cuma mahu jaga hati sendiri, tidak mahu dinodai.
Apabila hati bersih, senyum kita nampak ikhlas dan bisnes kita jadi mudah.Cerminan hati terpancar di muka dan apa yang kita niaga jadi mudah belaka. Di terima dan pelanggan datang beli sokmo. (nota: sokmo adalah bahasa Kelantan yang membawa maksud berulang ulang)
# 27. Untuk bisnes maju, doakan kebaikan teman teman. Apabila kita doakan sahabat sahabat yang jauh, malaikat mendoakan kita pula. Bayangkan malaikat yang doakan kita. Berkat. Amalkan ini anak. Amalkan selalu. Amalkan doakan untuk sekurang kurangnya 100 orang sahabat kita setiap hari. Amalan ini besar khasiatnya untuk hati kita jadi lembut dan bisnes kita berkembang.
#28. Bertahajud. bermunajat. Apabila kita tidur syaitan ikat kita dengan tiga ikatan. sebaik tersedar sebut nama Allah. Kemudian berwudhuk. Dan terus Tahajud. Lepaslah tiga ikatan syaitan. Tahajud adalah cara kita syukur pada Allah atas segala nikmat.
Anak tahu rumah Pak Cik paling besar di kawasan ini. Ia seakan cantuman 3 buah rumah banglo. Padahal Pak Cik hanya peniaga kecil berbanding dengan orang lain. Anak tahu semua yang tinggal kawasan ini orang bernama. Kenapa di hujung usia mereka tidak kaya?
Ianya nikmat yang disyukuri. Nikmat apabila tidak didustakan lekat tidak tiris. Sesiapa yang tahajud terus menerus ada 9 kurniaan. Lima kurniaan di dunia dan empat kurniaan di akhirat. Anak, bertahajud lah. InsyaAllah selamat.
Pantang besar orang tua dahulu dahulu untuk terus tidur apabila ayam telah mula berkokok pada hujung malam. Kita bangun dalam gelap mencerah hati menghadap Tuhan pemilik alam.
#29. Anak, untuk berjaya dalam bisnes, kita mesti berhati hamba. Siang kita dambakan pada pelanggan. Mereka betul. Kita bukan salah, cuma kita mengalah. Mereka rasa serlahan jiwa kita dan mereka datang secara berulang ulang. Malam kita hamba merintih pada Pencipta.
Anak, ibadah, bukan sekadar rukuk dan sujud. Bukan sekadar gotel (baca:gentel) tasbih zikir dan tahmid. Ibadah juga bukan sekadar zakat dan sedekah. Ibadah adalah hati yang ingat sokmo pada Allah. Hati yang tidak ingat Allah hati seorang Tuan. Seorang yang rasa diri “tuan pemilik” sukar untuk dapat nikmat berTuhan.
Hanya belas kasihan Allah dapat jauhkan kita daripada segala bala bencana.
Anak. hari sudah tinggi. Pak Cik mahu balik. Sambil berjalan balik ke luar masjid, beliau memberikan petua terakhir untuk hari itu.
#30. Bangun pagi. Tadi tahajud. Kemudian Subuh. Seboleh mungkin usah bangun dari sejadah sampai Dhuha. Baca Al Quran. Zikir. Lanjutkan sampai Dhuha. Beribadat pada Allah. Kemudian cari nafkah halal. Ia mendatangkan keberkatan rezeki.
Tatkala berpisah, dia membaca surah an Naba ayat 11, “Dan kami jadikan waktu siang untuk mencari penghidupan (rezeki).”
Doakan kami bertemu lagi.

No comments:

Post a Comment